Jurufoto @ Photographer

Tuesday, June 21, 2011


Bina budaya kerja
Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI

haswendy@hmetro.com.my

HASIL sentuhannya dalam bidang fotografi sungguh memukau, setara hasil karya jurufoto luar negara. Bustamam Mokhtar kini boleh berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang dicintai, terutama apabila nama itu semakin berdiri kukuh melalui jenama White Studio yang ditubuhnya sejak September 1996.

Selain melakar nama sebagai penerima anugerah BDA Artistik untuk Jurufoto Profesional MIFA 2009, Bustamam diiktiraf selepas hasil sentuhan dalam beberapa majalah tempatan dan antarabangsa seperti Glam, Marie Claire, InTrend, EH!, FHM, Style, Women Weekly, Icon, Cosmopolitan dan banyak lagi menerima pingat emas, perak dan gangsa dalam pelbagai kategori.

Namun tatkala bercerita mengenai pencapaian yang didefinisikan sebagai tidak seberapa olehnya, Bustaman akui ia bukan perkara mudah dan perjalanannya begitu berliku. Semua itu diharungi jua demi mencapai impian yang dipupuk sejak di tingkatan lima lagi.

“Selepas tamat belajar dalam bidang fotografi di UiTM (Universiti Teknologi Mara), saya bekerja sebagai pembantu jurufoto di Design Dimension serta Light & Sound Edvertising Company selama setahun, kemudian sambung belajar ke Sekolah Bahasa Asing Bunka di Tokyo, Jepun.

“Tamat saja kursus bahasa Jepun di sana, saya teruskan pengajian dalam bidang fotografi di Kolej Fotografi Tokyo selama dua tahun,” katanya yang turut berpeluang menjadi penolong jurufoto untuk AVGVST International, agensi fotografi terkemuka dunia yang bertapak di negara Matahari Terbit itu.

Bermula di sanalah, Bustamam membina pengalaman bersama Bruno Dayan, Justine Chan, Peter Gabriel, Kao Chifose dan beberapa jurufoto terkemuka lain. Selain fotografi fesyen untuk majalah Penthouse, GQ, Brutus, Jun Ashida & Miss Ashida dan Blue Marine, Bustamam membantu menghasilkan muka depan album artis terkemuka seperti Chara, X Japan Band, Dreams Come True Band dan Der Ziebed.

Mendengar senarai nama disebutnya, timbul rasa kagum tatkala dia turut berkongsi kepayahan bergelar anak Melayu di negara orang.

Katanya, selama menjadi pelatih di sana, dia melihat betapa kerjaya sebagai jurufoto berada di kelasnya tersendiri.

Jurufoto adalah insan yang berkarya untuk memenuhi kepuasan diri dan pelanggan. Oleh itu, tatkala berkarya mereka memiliki pasukan sendiri yang mempunyai tugas masing-masing.

Tugas jurufoto hanya merakam foto, pembantu pula menyediakan segala keperluan yang diperlukan jurufoto daripada segi teknikal, solekan, busana dan sebagainya.

Senario ini menunjukkan taraf seorang jurufoto profesional bukan tugas mudah susulan pembabitan unsur kreatif dalam sentuhan mereka.

“Sekembalinya dari Jepun pada pertengahan 1995, saya bekerja sebagai jurufoto akhbar. Namun tidak lama kerana mahu mengembangkan kreativiti saya ke tahap lebih luas. Saya kumpul duit dan pinjam sedikit dari bank, saya gunakan untuk menyewa sebuah rumah kedai dan membeli peralatan kamera.

“Antara projek pertama saya ketika itu ialah menghasilkan ‘cover’ album Arni Nazira. Sikit demi sikit projek saya bertambah, mungkin pengalaman yang dikutip ketika berkhidmat di Jepun membuatkan ramai pihak membuka mata,” katanya.

Selain Arni Nazira, Bustamam bekerjasama dengan Ella, Datuk Siti Nurhaliza, Adibah Noor, Ziana Zain, Anita Sarawak, Erra Fazira serta Anuar Zain.

Perbualan awal bersama SELEBRITI di studionya menyentuh soal kepayahan mendaki puncak bergelar jurufoto profesional. Katanya, cabaran persaingan untuk mendapatkan pasaran bidang kreatif ini yang rata-rata dikuasai bangsa asing adalah perkara pokok yang menjadi halangan utama untuknya meluaskan pencapaian ke peringkat lebih tinggi.

“Bukan mudah untuk ‘pecahkan tembok’ yang menjadi penghalang untuk anak Melayu seperti saya menjejaki pasaran pengiklanan lebih besar.

“Biarpun memiliki pengalaman luas serta pendidikan rasmi dalam bidang ini, ia tidak menjanjikan apa-apa kerana yang penting kita perlu mencipta budaya kerja itu sendiri.

“Oleh itu kita perlu mencipta peluang untuk membuka peluang lain. Berani pikul tanggungjawab dan jangan lepaskan peluang, kerana ia tidak datang berkali-kali. Dalam pasaran tempatan pun, kita tidak boleh terlalu ‘demanding’ dan berkira,” katanya.

Menurutnya, penting sebagai orang yang terbabit dalam bidang perkhidmatan, jurufoto perlu berusaha memuaskan pelanggan yang meletakkan kepercayaan terhadap mereka menghasilkan gambar terbaik.

Baginya, jika klien meminta khidmat jurufoto pada waktu yang dianggap tidak sesuai seperti lewat malam atau hujung minggu, sebagai orang yang membina nama, mereka seharusnya menerima tugasan itu tanpa banyak soal. Ia sebagai satu pendekatan untuk membina kepercayaan dan rangkaian lebih luas kelak. Berkali-kali Bustamam menegaskan soal bersusah sebelum senang dan keperluan memahami budaya kerja perlu diterapkan dalam diri.

Malah pengetahuan dalam bidang teknikal dan teknologi terkini fotografi turut menjadi perkara asas yang perlu diketahui. Kepakaran dan kelebihan itu yang bakal membantu jurufoto muda membentuk laluan mudah dalam dunia fotografi serba mencabar.

Bustamam turut disogok dengan soal impian yang mungkin belum terlaksana. Tanpa selindung, jurufoto bertubuh sederhana ini berhasrat menembusi pasaran pengiklanan yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan. Sebagai contoh, katanya, ada jurufoto mampu mendapat pendapatan lebih tujuh angka apabila menerima tugasan mengambil foto untuk tujuan komersial. Nyata satu angka yang mengejutkan ramai pihak yang tidak pernah menyangka ia adalah kerjaya yang sangat lumayan.

Biarpun payah, ia tidak mustahil jika mempunyai hati kental dan rela bekerja kuat. Katanya, jurufoto bertaraf profesional luar negara sekalipun perlu melalui sesi temuramah berperingkat sebelum berjaya mendapat tugasan daripada pelanggan berprofil tinggi.

Dalam pada itu, Bustamam melihat perkembangan bidang fotografi tempatan sebagai sihat dan membanggakan susulan ramai anak muda kini mulai memilih bidang fotografi sebagai kerjaya tetap. Contohnya, ramai anak muda membabitkan diri dalam bidang fotografi perkahwinan yang kini tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Bustamam sekali lagi tegaskan: “Bina budaya kerja dan hargainya sepenuh jiwa. Jangan takut dilambung ombak jika nak berumah di tepi pantai, yang penting kerja kuat.”

Sumber: Harian Metro

Yes, we will~

Post a Comment

Latest Instagrams

© Julfy Photography. Design by Fearne.