Mendapat Tugasan Fotografi Perkahwinan Yang Baru

Thursday, June 23, 2011

Sudah agak lama saya tidak mengambil tugasan fotografi perkahwinan kerana kesibukan di pejabat dan dirumah. Malam tadi saya berjumpa dengan klien yang bagus pada pandangan saya untuk bekerjasama dalam pembikinan fotografi perkahwinan mereka. Bagus pada pandangan saya ialah kerana mereka adalah pasangan yang sederhana, ceria dan boleh dibawa berunding. Memang benar, saya agak memilih juga dalam menerima undangan untuk marakam foto di hari perkahwinan mereka.

Memilih adalah perkara biasa yang jurufoto lain juga melakukannya. Boleh jadi, pasangan yang menelefon saya ingin mengambil pakej mahal tetapi hanya memperuntukan bajet yang kecil untuk fotografi perkahwinan. Ada juga yang mahukan satu-satu pakej yang agak ketat bajetnya tetapi mahu saya merakamkan foto selama 3 hari. Bagi saya, dalam setiap tugasan fotografi perkahwinan, amatlah penting sekiranya kedua-dua pihak iaitu saya dan pelanggan berpuas hati dengan perbincangan yang di adakan supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat dan tidak terasa beban di kemudian hari akibat daripada persetujuan yang telah dicapai.

Benar, kalau kita dah setuju dengan pelanggan, bemakna kita mesti mengotakan apa yang dikata. Tetapi kalau persetujuan itu dilakukan kerana terpaksa kerana mahukan volum tugasan yang banyak tetapi untung tak dapat (hanya dapat penat), eloklah awal-awal lagi tolak sahaja permintaan untuk tugasan itu. Nanti menyesal, kerja dilakukan dengan keadaan terpaksa sahaja. Biarlah semasa berjumpa, berbincanglah dengan jujur dan dapatkan win-win deal sebelum menandatangani sebarang kontrak atau perjanjian. Kalau anda berkata sanggup sahaja pada perkara yang anda sebenarnya tidak sanggup hanya kerana ingin menjaga hati atau mendapatkan tugasan itu, lebih baik anda undur diri sahaja. Kelak ia hanya menjerat diri sahaja.

Sekiranya anda seorang jurufoto perkahwinan, dan dikehendaki melakukan tugasan fotografi perkahwinan yang tidak berbaloi, elok sahaja anda berkata tidak kerana anda hanya mendapat penat dan letih sahaja. Pengalaman? Anda hanya akan mendapat pengalaman buruk sahaja sekiranya mengambil tugasan seperti itu. Bukanlah hendak menyombong diri, tetapi kalau difikirkan secara logik, anda membeli kamera berharga RM5000, pengalaman anda bertahun-tahun, tetapi anda ambil juga tugasan yang berharga RM300 untuk 3 hari, adakah itu berbaloi?

Para pelanggan pula, sekiranya anda ingin menggunakan perkhidmatan fotografi daripada jurufoto yang berpengalaman, anda mestilah sanggup menyediakan peruntukan lebih daripada RM1000, kerana itulah harganya untuk fotografi perkahwinan. Sekiranya anda mengambil perkara ini sebagai remeh dan mendahulukan peruntukan untuk baju yang cantik dan pelamin yang mahal, cuba anda rakam gambar dengan menggunakan kamera kompak berharga RM399, adakah anda akan berpuas hati dengan hasilnya? Inilah realitinya yang anda tidak dapat sangkal! Dan jika anda ingin memperuntukan bajet yang rendah dengan mengambil jurufoto baru yang baru seminggu membeli kamera dan menawarkan pakej free shoot cuma bayar cetakan album, adakah anda sanggup mempertaruhkan perkahwinan anda yang anda akan lalui sekali sahaja seumur hidup itu dengan gambar-gambar yang underexpose, salah komposisi atau gambar tidak menjadi?

Pelanggan yang saya temui semalam pada mulanya ingin mendapatkan pakej Romantik yang berharga RM1599 tetapi saya cadangkan banyak perkara yang boleh dikurangkan untuk penjimatan dan pasangan tersebut bersetuju dengan pendapat saya. Akhirnya, pakej tersebut hanya berharga RM1200 setelah ditolak beberapa perkara yang kurang penting seperti foto 11R dan album lekat yang mereka katakan, mereka pun boleh buat sendiri. Yang penting ialah pemberian DVD oleh saya. Saya bersetuju dengan perbincangan semalam dan akhirnya tandatangan diturunkan dan wang sebanyak RM240 iaitu 20% daripada harga akhir pakej yang dipersetujui telahpun saya terima.

Mungkin pada masa akan datang saya perlu memikirkan untuk lebih giat menawarkan perkhidmatan fotografi perkahwinan yang saya tawarkan. Hanya kerana saya memiliki kerja tetap, saya sentiasa mahukan qualiy time bersama isteri dan anak saya pada hujung minggu. Melakukan kerja fotografi perkahwinan ini sememangnya seronok dan saya tidaklah kisah sekiranya saya letih kerananya. Seseorang yang sudah berkahwin (macam saya) ketika melihat si suami yang membacakan ikrar kepada isterinya, saya pasti sebak dan teringat memori semasa saya berkahwin dulu. Pasti saya akan teringatkan isteri dan anak di rumah. Perkara ini seakan ingatan untuk saya lebih bertanggungjawab mencari rezeki untuk mereka.

Dan bagi jurufoto yang belum berkahwin, apabila melihat pasangan pengantin menyarungkan cincin sesama mereka, pasti akan terdetik untuk lebih giat mencari rezeki bagi menampung keperluan perkahwinan dengan teman wanita atau tunang masing-masing. Perkara ini bagaikan berbalik kepada kita, kerana kita menyaksikan dua pasangan mendirikan masjid, malaikat bergembira dan bersyukur, sedangkan syaitan menangis kerana satu lagi pasangan sudahpun menuruti kehendak agama dan sunnah Nabi SAW. Sememangnya, saya sukakan fotografi perkahwinan sebagai salah satu daripada kesukaan saya.

Credit; http://www.amayhamidi.com

2 comments

Latest Instagrams

© Julfy Photography. Design by Fearne.