Susah senang bergelar

Tuesday, June 21, 2011


Susah senang bergelar

BUKAN senang untuk seorang wanita bergelar jurufoto profesional. Selain perlu bijak mengagihkan masa antara kerjaya dan keluarga, mereka juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran lain termasuk kerenah pelanggan.

Pengalaman ditipu mak andam dan pengantin sudah menjadi asam garam. Begitu juga dengan saingan sengit hingga terpaksa menawarkan harga yang cukup rendah.

Itu belum diambil kira kerjanya yang lasak, kasar, keras. Setiap hari terpaksa mengangkut pelbagai peralatan kamera. Ia cukup mencabar untuk disesuaikan sebagai kerjaya seorang wanita yang bersikap lembut.

Namun kalau hendak seribu daya. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Semua cabaran, dugaan dan segala kepayahan yang dilalui tidak menghalang Kamalia Kamal, 26, untuk berjaya dalam bidang fotografi.

Dia juga membuktikan dengan keazaman dan keyakinan, kaum wanita yang terkenal dengan sikap lemah lembut boleh menawan dunia yang sebelum ini didominasi oleh lelaki.

Kamalia yang berasal dari Kuala Lumpur, tidak mempunyai latihan formal dalam bidang fotografi.

Ketika belajar di University of Arizona, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2002 dia mengambil bidang Sarjana Muda Ekonomi pengkhususan dalam perniagaan.

Tetapi ketika di universiti itu dia sudah berminat dengan bidang fotografi.

''Saya lakukan kerana minat, masuk kelas fotografi dan kemudian mengambil upah ambil gambar rakan-rakan pada majlis-majlis tertentu secara kecil-kecilan. Ia memberikan satu kepuasan kepada saya,'' kata ibu kepada seorang anak berusia tiga tahun itu.

Sekembalinya ke Malaysia, Kamalia atau lebih dikenali sebagai Kay, bekerja di sebuah syarikat pembinaan sebelum pada tahun 2006, dia menubuhkan sebuah studio foto menggunakan namanya, Kamaliakamal Photography. Selepas itu untuk lebih tampak komersial nama syarikat itu dijenamakan semula sebagai ThePhotolicous.

Perniagaan fotografinya lebih kepada merakamkan majlis-majlis perkahwinan, pertunangan, bertandang, majlis sarung cincin, majlis cukur jambul dan beberapa majlis lain.

Kamalia mengakui, pada awal kariernya bermula dalam bidang seni foto memang banyak cabaran.

Selain bermula dengan modal yang sedikit. Kamalia juga menggunakan kamera murah untuk menampung perbelanjaan pada ketika itu.

''Pada waktu itu sukarnya untuk mendapatkan pelanggan kerana orang belum kenal kita. Tambahan pula persaingannya agak banyak dan orang masih belum lihat cara saya bekerja, mereka masih ragu-ragu untuk mengupah saya.

''Bukan itu sahaja, untuk menarik pelanggan, saya terpaksa letak harga perkhidmatan yang agak murah agar pelanggan bersetuju untuk mengupah saya,'' katanya.

Di samping itu, pengalaman ditipu mak andam dan pengantin juga menjadi asam garam dalam bidang perniagaan ini selain masalah tidak banyak kelas untuk belajar seni foto.

Apabila ditanya mengenai produk perkhidmatan istimewa yang ditawarkannya, Kamalia berkata, ThePhotolicious banyak merakamkan foto yang bertemakan riang ria dan berwarna-warni, lebih detail, kemas , cantik, menarik dan berfokuskan kasih sayang serta cinta.

''Kita pastikan setiap kenangan yang dirakam akan mengembalikan nostalgia kepada pengantin yang tidak dijangka mereka.

''Selain menjaga kualiti, kita perlu memastikan apa yang dirakam menimbulkan kepuasan kepada pelanggan,'' katanya.

Dia jua banyak membuat rakaman bertemakan konsep pre wedding gothic, urban di Jalan Bukit Bintang dan elemen klasik dan dia juga jurufoto Melayu pertama yang membuat aksi Trash The Dress.

ThePhotolicious boleh dihubungi di talian 019- 6682336, 019-2715010 atau laman sesawang thephotolicious@gmail.com dan www.thephotolicious.com

Sumber: Utusan Online

Post a Comment

Latest Instagrams

© Julfy Photography. Design by Fearne.